Sabtu, 23 November 2013

Sungai Gong - Sementong Tiga



Sementong atau 'culvert' adalah merupakan satu ciri binaan teknikal untuk menyalurkan laluan saliran seperti anak sungai, paya dan sebagainya. Sementong adalah alternatif kepada binaan lain seperti jambatan di mana manusia dapat berjalan sama ada menggunakan kaki mahupun kenderaan merentasi saliran itu tadi.

Apa hal aku punya entri dah macam entri berbentuk kejuruteraan ni?

Tidak. Sebenarnya aku ingin menceritakan sejarah dari mana Sementong 3 ini mendapat nama. Zaman aku kecil dahulu kalau sebut Sungai Gong, penduduk kampung sudah membayangkan sebatang sungai yang sederhana mengalir jernih merentasi ladang di dalam tanah rancangan kami. Kemudian terdapat satu 'port' di situ yang selalu menjadi tempat kami bermandi-manda, terjun tiruk dari atas tebing, memetik buah ara, mengepung seluang, main jentik air, main baling batu dalam air siapa paling banyak lantun dan bermacam-macam lagilah permainan air. 'Port' itulah yang kami namakan Sementong 3 bersempena dengan 3 batang sementong yang terdapat di situ.

Selalunya kami lebih menumpukan di bahagian hulunya untuk bermandi-manda. Ini adalah kerana kawasan itu terempang dan airnya agak dalam bagi kanak-kanak seusia sekolah rendah seperti kami ketika itu.

Sementara di bahagian hilirnya adalah kawasan yang lebih cetek dan anak sungai itu terus mengalir entah ke mana. Sesetengah orang mengatakan ia bersambung hingga ke Sungai Senut (Sungai ni lain kali aku cerita).

Oleh kerana agak cetek, kami sering meranduk sungai itu dengan tujuan mengumpul siput sedut, mencari kijing (pun akan aku ceritakan di entri akan datang), malah dengan tujuan saja-saja berlari merentas dan menyusur anak sungai itu.

Hari minggu kawasan ini ibarat rumah kedua bagi kami. Sedari pagi sudah mula membasahkan diri sehinggalah mentari terpacak di kepala. Waktu ini bunyi cengkerik rimba bagaikan satu alunan indah terbiasa menjadi halwa telinga.




*bersambung...